fbpx

Pelawak, Shuib Sepahtu memaklumkan dia sempat membuat panggilan video terakhir ketika isterinya, Allahyarham Siti Sarah sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Shuib berkata dia dapat melihat air mata isterinya itu mengalir ketika membuat panggilan video seolah memahami apa yang dibualkan bersama anak-anak.

BACA: Sempat Tunai Ibadah Korban Di Gaza, Nadir Al Nuri Dedah Siti Sarah Mahu Rahsiakan

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video, itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.

“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.

“Saya sempat ke hospital selepas anak-anak tidur dan selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat, malam tadi. Namun, saya tidak dibenarkan bertemu arwah. Saya kemudiannya berpatah balik ke rumah,” katanya.

Reda di atas pemergian arwah isterinya, Shuib berkata apa yang sukar untuknya adalah untuk maklumkan perkara itu kepada tiga anak mereka.

“Cuma, cabaran saya untuk memaklumkan kepada tiga cahaya mata mengenai ketiadaan arwah ibunya,” katanya.

Shuib berkata arwah isterinya akan dikebumikan jam 12 tengah hari ini di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak bersebelahan kubur arwah ibunya.

“Arwah memang minta dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya. Jika berbual soal kematian, arwah ada menyebut keinginan disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya.