fbpx

Terkejut apabila mendapat khabar berita pemergian Allahyarham Siti Sarah, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri berkongsikan dia ada dihubungi arwah bulan lalu.

Menurut Nadir, arwah Sarah menghubunginya untuk menyertai ibadah korban di Gaza sempena sambutan Aidiladha. Ujarnya lagi, arwah seolah sedang mengejar timbangan amal kebaikannya yang terakhir.

BACA: “Bidadari Syurga Saya Telah Pergi Buat Selama-lamanya”

“Tersentap kejap bila baca berita daripada Shuib mengenai pemergian Siti Sarah. Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya Haji (Aidiladha) lepas untuk dia ikuti program korban kami di Gaza.

“Masa tu saya terkejut bila dia maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja. Ia seolah-olah dia sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” katanya.

Kata Nadir lagi, Sarah juga sering berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan saudara Islam di bumi Palestin dan menyifatkan Allahyarham sangat beruntung didoakan ratusan penduduk Palestin.

“Selepas itu dia kerap berhubung dan bertanya mengenai keadaan saudara-saudara kita di Palestin. Rupa-rupanya Allah takdirkan nyawa dia diambil dalam keadaan dia memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-Fatihah,” tulisnya.

Berkongsikan mesej perbualannya dengan Siti Sarah, Nadir turut mendedahkan Sarah seboleh-bolehnya mahu ibadah korban itu dirahsiakan kepada umum.

Bagaimanapun, arwah mengizinkan Nadir untuk berkongsi perkara itu sekiranya ia memberi manfaat kepada umat Islam.

Awal pagi tadi, Shuib memaklumkan Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, jam 5.13 pagi. Al-Fatihah.