Selepas pelantikan mereka dibatalkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Ahad lalu, barisan EXCO kerajaan negeri kini dilarang memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri serta menjalankan tugas.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa arahan itu dibuat pihak berkuasa dan dimaklumkan secara verbal tanpa sebarang arahan bertulis, namun tidak menamakan pihak berkuasa yang dimaksudkan.

“Saya dimaklumkan bahawa ada perintah larangan ataupun arahan yang melarang ahli-ahli EXCO memasuki pejabat masing-masing.

“Bukan setakat tidak boleh memasuki pejabat EXCO, tetapi tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai ahli EXCO,” katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.

Ismail berkata, beliau sendiri tidak berdepan sebarang halangan untuk memasuki pejabatnya di Wisma Negeri dan larangan berkenaan hanya melibatkan barisan EXCO.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa berkaitan menilai semula arahan itu dengan segera termasuk asas dan skopnya memandangkan pertikaian mengenai kedudukan EXCO masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi memastikan urusan rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri tidak terganggu.

“Permohonan ini dibuat melalui saluran yang tertib tanpa menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab keselamatan mereka.

“Saya menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian ini.

“Kerajaan negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi Diraja Negeri Sembilan, dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Ismail pada masa sama menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana EXCO mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Dengan itu, sekali lagi saya nak tegaskan EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

“Inilah satu perkara yang saya rasa perlu menjadi fokus kita hari ini kerana kerajaan kita kena berjalan, pentadbiran kerajaan kena berjalan, kepentingan rakyat mesti kita utamakan,” katanya.

Menurut Ismail, sekiranya EXCO tidak dibenarkan memasuki pejabat, mengadakan mesyuarat serta menjalankan tugas seperti biasa, keadaan itu boleh menjejaskan pentadbiran negeri dan disifatkannya sebagai menafikan hak rakyat.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri ketika ini adalah kerajaan yang sah dan dipilih rakyat, manakala pelantikan barisan EXCO juga menurutnya masih sah.

“Bagi saya, ini satu perkara yang amat tidak wajar kerana tidak ada perintah mahkamah, tidak ada arahan bertulis dan sebagainya.

“Sekiranya ada pemecatan dan sebagainya, mestilah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan di mana salah satu daripada perkaranya ialah pemecatan EXCO mestilah atas nasihat atau pandangan oleh Menteri Besar,” katanya.

Ahad lalu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 EXCO kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan masing-masing.

Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, kesemua EXCO terbabit telah menarik balik kesetiaan kepada Tuanku Muhriz menerusi tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu, menyebabkan baginda menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan mereka.

Bagaimanapun, Ismail kemudian mempertikaikan tindakan berkenaan dengan menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati mengenai pemberhentian mana-mana EXCO, sekali gus berpendirian barisan berkenaan masih sah dan boleh menjalankan tugas seperti biasa.

KREDIT GAMBAR: MEDIA MB NS

×