Atlet negara yang memenangi pingat emas acara berpasukan kini bakal menikmati ganjaran lumayan RM40,000 seorang berbanding hanya RM15,000 sebelum ini, peningkatan mendadak sebanyak 166.67 peratus!

Lebih menarik, kadar ganjaran baharu di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) itu merupakan kenaikan pertama dalam tempoh 24 tahun sejak ditetapkan pada 2002.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penambahbaikan itu dipersetujui Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

“Melaluinya, ganjaran setiap atlet pemenang pingat perak acara berpasukan turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala pingat gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.

“Kadar baharu ini terpakai kepada semua pasukan tanpa mengira bilangan atlet. Ini merupakan kenaikan pertama kadar ganjaran acara berpasukan dalam tempoh 24 tahun, sejak ia ditetapkan pada tahun 2002,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Mohammed Taufiq, kadar baharu itu turut terpakai kepada pemenang pingat tiga temasya 2026, iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.

Seramai 66 atlet daripada 10 pasukan pemenang pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan menerima bayaran tambahan susulan pelaksanaan kadar baharu berkenaan. Jelasnya.

“Antara sukan terlibat ialah sepak takraw, skuasy, hoki, berbasikal trek, karate dan e-sukan termasuk Honor of Kings, Identity V serta Mobile Legends: Bang Bang,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata, penambahbaikan itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

Beliau berkata, jumlah ganjaran bagi ketiga-tiga temasya 2026 meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta, manakala keseluruhan SHAKAM tahun ini mencecah RM6.69 juta.

Katanya, jumlah itu merupakan yang kedua tertinggi sejak skim berkenaan diperkenalkan pada 1986.

“Dalam sukan berpasukan, tiada pingat dimenangi seorang diri. Setiap pemain berlatih, berkorban dan berjuang sama hebat dengan juara individu, dan mereka wajar dihargai dengan setimpal.

“Kenaikan ini adalah tanda penghargaan Kerajaan kepada atlet acara berpasukan yang telah mengharumkan nama negara sepanjang 2026, dan suntikan semangat buat mereka menjelang Sukan SEA 2027 di tanah air,” katanya.

×