fbpx

“Selagi Muzik Video Ada, Selagi Itu Dosa Saya Berjalan”

Susulan isu babak bersentuhan dalam muzik video lagu terbaru Adira, suaminya, Dato Red meluahkan rasa kecewa apabila tegurannya itu tidak diendahkan.

Ujarnya, dia sudah memberi peringatan kepada Adira dan pengurusnya untuk tidak melakonkan babak tersebut, namun tidak menyangka rancangan tersebut diteruskan juga.

BACA: Suami Minta Padam Babak Adira Sentuh Lelaki Lain

“Saya kecewa dengan babak bersentuhan itu seolah-olah tidak menghormati saya sebagai suami Adira. Sehari sebelum penggambaran saya sudah beri amaran dan saya dapat tahu mereka tetap buat juga. Sebelum pelancaran saya sudah hubungi Adira dan pengurus agar buang babak tersebut.

“Tapi mereka tidak layan. Apa mereka rasa benda haram tu boleh naikkan Adira semula dalam Industri,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Dato Red memberitahu sehingga hari ini pihak syarikat rakaman masih tidak menghubunginya dan dia akan mencari jalan untuk memadam muzik video tersebut walau dengan cara apa sekalipun.

“Saya bagi tempoh untuk mereka usahakan tapi sampai sekarang masih lagi tiada apa-apa tindakan. Pihak Nova Music langsung tidak hubungi saya.

“Sekarang saya akan usahakan video muzik itu dipadamkan dari internet kerana selagi ada, selagi itu dosa saya berjalan. Saya sudah dapat balasan dosa-dosa lampau dan sekarang nak jadi manusia lebih baik tapi jadi macam ni pula,” katanya.

Terduhulu, Dato Red meminta pihak pengurusan Adira agar memotong babak tersebut dalam tempoh tiga hari sejak Jumaat lalu. Adira bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menganggap perkara itu boleh dibincangkan di rumah sahaja.