fbpx

Sedar Sering Dikritik, Nabila Razali Masuk Kelas Lakonan

Kini semakin berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Nabila Razali mengakui terpaksa masuk ke kelas lakonan untuk memantapkan lagi mutu gaya lakonannya kerana dia sering digandingkan dengan hero yang hebat-hebat.

Menyedari lakonannya pernah dikritik netizen sebelum ini, Nabila berkata dia mengambil pendekatan itu untuk meningkatkan lagi kemahiran lakonannya.

BACA: Suara Dikutuk Sumbang, Nabila Razali Masuk Kelas Vokal

“Terbaharu, saya terlibat dalam penggambaran drama bersiri Seindah Tujuh Warna Pelangi yang akan ditayangkan pada bulan Februari ini.

“Kali ini saya bergandingan dengan Aeril Zafrel dan disebabkan hero-hero yang selalu digandingkan dengan saya semua hebat-hebat belaka, saya memang ada ambil kelas lakonan.

“Cumanya, saya tak berani uar-uarkan saya ambil kelas sebab takut nanti hasilnya tak seperti mana yang orang jangkakan. Walau bagaimanapun bila saya buat kerja, saya memang akan bagi sehabis baik dan saya harap orang nampak usaha saya untuk buat lebih baik,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengakui membaca semua komen yang diberikan oleh netizen, Nabila berkata dia tidak mudah melatah dengan komen negatif tentang lakonannya. Katanya lagi, dia akan berusaha untuk perbaiki mutu lakonannya.

“Saya memang baca semua komen yang diberikan tak kisah sama ada positif atau negatif. Yang mana komen negatif itu saya tidak pernah balas dan tidak pernah mudah melatah.

“Kalau mereka kata ada lakonan saya yang tidak sampai pada mana-mana bahagian, saya akan tengok balik dan perbaiki dari situ selain akan bertanya kepada guru lakonan saya,” katanya lagi.