fbpx

Sebulan Menduda, Alha Alfa Dedah Ramai Wanita Ajak Kahwin

Rumah tangga yang bina hanya mampu bertahan 6 bulan sahaja, jurusolek terkenal Alha Alfa mendedahkan baru sahaja sebulan memegang status duda, ramai wanita menyatakan hasrat mahu menjadikannya sebagai suami.

Alha berkata ada juga ibu bapa yang menghantar mesej kepadanya mahu menjadikannya sebagai menantu tanpa perlu mengeluarkan belanja hantaran yang tinggi dna tidak perlu adakan sebarang majlis.

BACA: Alha Alfa Dedah Bukti Bekas Isteri Pernah Hamil & Keguguran

“Selepas saya umumkan bercerai, saya bukan sahaja dihujani mesej kecaman netizen, malah sampai sekarang saya turut menerima mesej lamaran daripada individu tidak dikenali. Ada yang menyatakan hasrat ingin saya menjadi suami mereka dan sanggup susah senang bersama.

“Lebih mencuit hati apabila ada makcik dan pakcik yang tawarkan saya berkahwin dengan anak mereka tanpa wang hantaran dan tidak perlu diadakan sebarang majlis,” Katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Alha berkata buat masa ini dia belum terbuka hati lagi untuk mencari pengganti. Malah selepas kisah perceraiannya tular, dia mengurungkan diri dan mengambil keputusan untuk tidak membaca komen yang ditinggalkan netizen.

“Sejujurnya, untuk cari pengganti belum terfikir lagi buat masa ini… kalau sekadar kenal-kenal untuk berkawan itu bolehlah! Bukan mudah untuk cari teman hidup, bekas isteri dulu pun lima tahun kami berkawan sebelum berkahwin.

“Selepas saya buat pengumuman itu, saya dikecam teruk, saya akui menangis sendirian dalam bilik. Bagaimanapun, masih ada kawan-kawan termasuklah rakan artis yang beri semangat dan minta saya kuatkan diri berdepan ujian itu,” katanya.

Dalam pada itu, Alha memberitahu keadaannya kini semakin baik dan dia sudah boleh melalui kehidupan dengan lebih tenang. Ujarnya lagi, dia percaya setiap apa yang berlaku dalam kehidupannya ada hikmahnya.

Terdahulu, Alha berkata rumah tangganya hanya mampu bertahan selama 6 bulan selepas dia dan Azlin sepakat untuk berpisah secara baik selepas masing-masing sudah tidak lagi persefahaman.