fbpx

Scha Alyahya Selamat Jalani Pembedahan Buang Ketumbuhan

Sudah lama rasanya tak dengar cerita mengenai pelakon Scha Alyahya. Baru-baru ini, Scha sekali lagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim (endomestiosis) di sebuah pusat perubatan, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Menurut Scha, dia menyedari masalah yang dialaminya selepas mengalami sakit pinggang dan sakit perut melampau ketika datang bulan. Scha berkata dia lega selepas menjalani pembedahan itu dan berharap agar dipermudahkan hamil lagi.

BACA: Scha al-Yahya, Suami Sudah Sedia Timang Anak Kedua

“Ketika membuat pemeriksaan pada Disember lalu, saya dimaklumkan terdapat ketumbuhan baru dan disarankan untuk menjalani pembedahan. Tambahan pula, akibat ketumbuhan itu tanda-tanda lama berulang seperti sakit pinggang dan sakit perut yang melampau ketika datang bulan.

“Perkara ini tidak mengejutkan kerana difahamkan ia memang boleh berlaku lagi pada individu yang pernah mengalaminya. Antara punca adalah faktor pemakanan,” katanya kepada Harian Metro.

Scha berkata disebabkan ketumbuan itu membuatkan dirinya sukar untuk hamil. Ujarnya lagi, dia kini sedang berusaha untuk hamil kali kedua. Kali pertama Scha menjalani pembedahan sama pada 2013 iaitu sebelum disahkan hamil anak sulungnya, Lara Alana.

“Meskipun ada penghidap sama boleh hamil, namun dalam kes saya ini antara punca saya susah nak hamil lagi.

“Jadi, saya berdoa selepas ini dipermudahkan proses untuk hamil kali kedua. Meskipun ada rawatan alternatif lain untuk hamil, tapi sekurang-sekurangnya saya kena buang ketumbuhan ini dulu,” katanya.