fbpx

“Saya Takkan Madukan Isteri”

Sudah enam tahun berumah tangga dan masih belum lagi dikurniakan cahaya mata, Izzue Islam tidak pernah terdetik untuk memadukan isteri, Awin Nurin.

Katanya, berpoligami bukanlah cara terbaik untuk selesaikan masalah. Jelasnya lagi, tiada cahaya mata bukan bermakna kehidupan mereka suami isteri tidak bahagia.

BACA: Izzue Islam Minta Maaf Belum Bagi Zuriat Buat Isteri

Izzue berkata dia akan tetap setia pada isterinya biarpun ada netizen menuduhnya mandul serta meminta untuk menceraikan Awin.

“Jujurnya, saya akui provokasi warganet sering kali ada di Instagram. Tetapi saya dan isteri tidak menghiraukannya. Jika melayan dan menghayati perkataan ditulis, saya dan Awin akan memendam rasa sakit hati.

“Paling terkesan tentunya saya dituduh mandul dan tidak mampu memberi kebahagiaan buat isteri. Malah, ada yang meminta saya melepaskan Awin.

“Saya tahu, saya tidak sempurna, tetapi tidak sesekali saya membiarkan warganet yang mahu menggugat rumah tangga. Saya percaya kepada pilihan hidup, jadi saya sanggup telan onak dan duri,” katanya kepada BH Online.

Izzue mengakui isterinya pernah tertekan mengenai isu zuriat ketika perkara itu mula diperkatakan netizen.

Dalam pada itu, Izzue memberitahu tahun ini dia dan Awin akan mendapatkan rawatan dan usaha untuk memiliki cahaya mata tahun ini.