Tinggal di flat kos rendah sejak berusia 12 tahun, pelakon dan model Haneesya Hanee berkata dia tidak pernah rasa malu menghuni rumah tersebut meskipun ada segelintir pihak mempersendakannya.

Pernah hidup susah sehingga jadi gelandangan, menurut Haneesya dapat tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan satu permberian yang sangat disyukuri. Ujarnya, dia dan keluarga kini menetap di PPR Pudu Ulu, Cheras, sejak tujuh tahun lalu.


BACA: Haneesya Hanee Dikecam Guna Kata-Kata Terakhir Sulli

“Saya tak malu duduk di PPR… Saya tahu asal usul diri. Bagi saya, isu menetap di kawasan PPR tidak pernah menjadi ‘kudis’. Pernah dahulu, kami hidup susah sampai jadi gelandangan dan menumpang rumah orang lain.

“Apabila mendapat rumah PPR, ia menjadi suatu pemberian Allah yang amat disyukuri. Dapatlah kami anak beranak berteduh daripada panas dan hujan,” katanya kepada BH Online.


Kata Haneesya lagi, dia mengakui selesa tinggal di PPR dan seronok hidup berjiran. Dalm pada itu, Haneesya berkata buat masa ini dia belum terfikir lagi untuk berpindah ke rumah lain.

“Saya kenang jasa rumah PPR… Rumah pangsa ini tidak ada salah. Biasalah, tanggapan orang. Keluarga saya seronok hidup berjiran. Ramai jiran saya kenal termasuk ramai yang berniaga makanan, di sini. Kami bergaul rapat dan selalu bertanya khabar.

“Buat masa sekarang, saya ikut kemampuan dan keperluan. Tak terfikir lagi hendak duduk di rumah lain,” katanya.