Pelakon Erysha Emyra berkata dia berada di fasa untuk menerima dan belajar berdamai selepas pemergian bapa tersayang, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahmah pada 29 Mei lalu.
Memetik Oh Bulan, Erysha berkata dia merasakan kosong selepas pemergian bapanya apatah lagi hubungan mereka sangat rapat.
BACA: Erysha Emyra Setuju Kalau Ibu Nak Kahwin Lagi
“Saya rindu segala-galanya sebab saya memang rapat dengan ayah. Saya sangat manja dengan dia, jadi bila dia sudah tiada, memang terasa kosong.
“Pemergian ayah ini, saya rasa tak mampu nak cakap apa-apa lagi. Buat masa sekarang, saya cuba ketepikan perasaan itu sekejap kerana masih ada komitmen kerja.
“Setiap hari saya perlu masuk set dan teruskan kerja seperti biasa. Mungkin selepas selesai penggambaran nanti, barulah saya akan hadapi semua perasaan ini sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Erysha berkata meskipun sibuk dengan penggambaran namun meluahkan rasa syukur pihak produksi memberikan pelepasan untuk cuti apabila dimaklumkan bapanya dimasukkan ke ICU.
“Saya sangat bersyukur kepada produksi Ikatan Terlarang. Apabila saya hubungi mereka dan beritahu ayah dimasukkan ke bahagian kecemasan, mereka terus memberi cuti kepada saya.
“Saya sangat menghargainya kerana dapat meluangkan masa bersama ayah sehingga saat-saat akhir. Dia juga menghembuskan nafas terakhir di depan saya. Kalau ketika itu saya masih berada di set dan hanya menerima panggilan telefon, mungkin saya akan lebih terkilan,” katanya.
Dalam pada itu, Erysha berkata dia reda dengan ketentuan Ilahi serta akan sentiasa mengingati pesanan terakhir arwah bapanya.
“Sekarang mungkin saya sudah tidak mempunyai doa daripada seorang ayah, tetapi saya yang perlu terus mendoakan dia.
“Antara pesanan terakhir arwah ialah supaya saya menjaga keluarga, memikul amanah yang ditinggalkannya dan memastikan kami terus hidup dalam keadaan gembira serta bersatu,” katanya.
Sumber: Oh Bulan