fbpx

“Saya Sudah Sedia Bergelar Isteri, Tak Mahu Buang Masa”

Meskipun hanya melangsungkan majlis pertunangan secara dalam talian dan lain daripada kebiasaan, bagaimanapun Ayda Jebat berkata dia tetap merasai debaran seperti apa yang dirasai oleh orang lain ketika bertunang.

Walaupun tidak bertentang mata, namun majlis yang diadakan menggunakan aplikasi Google Meet itu tetap berlangsung meriah. Menurut Ayda, pada awalnya dia dan Nabil Mahir merancang untuk menunda pertunangan namun keluarga mahu majlis diadakan segera.

BACA: Ayda Jebat, Nabil Mahir Sah Bertunang Secara Online

“Sejak PKP, kami memang terfikir untuk tunda bertunang, tapi keluarga Nabil mahu majlis ini berlangsung dengan cepat.

Walaupun tak dapat bertentang mata seperti majlis orang lain, tapi saya masih rasakan apa yang orang lain rasa. Kami gembira dapat merealisasikan kehendak keluarga mengikut adat.

“Jika diikutkan memang tiada majlis bertunang tapi demi permintaan keluarga kami tidak mahu menghampakan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Ayda berkata kedua belah keluarga mahu mereka segera mendirikan rumah tangga. Ujarnya, tarikh perkahwinan mereka sudah pun ditetapkan bagaimanapun Ayda berkata belum dapat berkongsi butiran lanjut dan akan diberitahu kelak.

“Kalau boleh, mereka mahu kami bernikah secepat mungkin, tidak mahu tunggu lagi. Jadi, bagi menghormati permintaan keluarga, saya dan Nabil tampil dengan idea menganjurkan majlis bertunang secara dalam talian.

“Tarikh sudah ditetapkan tapi masih belum dapat saya kongsikan. Jangan risau, kami akan umumkan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda berkata dia bulatkan hati untuk menamatkan zaman bujang dengan Nabil. Malah, dia juga sudah bersedia bergelar isteri dan sudah sampai masanya dia berumah tangga.

“Memang saya mengharapkan hubungan kami sampai ke tahap ini. Saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan tidak mahu membuang masa. Saya juga sudah berusia 28 tahun, tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua untuk berkahwin,” katanya.