fbpx

“Saya Sudah ‘Bersih’, Rokok Pun Dah Berhenti”

Baru-baru ini, penyanyi Ameng terkilan apabila dituduh masih terlibat dengan penagihan dadah ketika membuat persembahan secara langsung di Facebook Artise Voice Of Legend (AVOL).

Ameng berkata disebabkan fitnah itu, orang ramai enggan memberikan sokongan untuk persembahannya serta kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih bersangka buruk terhadap bekas penagih.

BACA: Bengang Dituduh Masih Hisap Dadah, Ameng Buat Laporan Polis

“Saya perasan memang ada yang mengaitkan saya dengan dadah sejak minggu pertama AVOL berlangsung secara maya itu tetapi ketika itu saya masih bertimbang rasa kerana kasihankan mereka.

“Lama- kelamaan keadaan menjadi seperti tidak terkawal apabila ada yang berani untuk terus menfitnah saya. Terbaharu, kononnya saya kacip gigi sebab dadah.

“Gara-gara fitnah, hari ini tiada langsung duit masuk sebab orang takut saya beli dadah sedangkan kebiasaannya orang salurkan sumbangan boleh mencecah RM150 sehari,” katanya.

Ameng berkata lagi, disebabkan statusnya sebagai bekas banduan ramai yang mempercayai dengan fitnah berkenaan. Menurut Ameng, dia bukan sahaja bersih dari dadah, malah sudah berhenti merokok.

“Orang mungkin nampak komen itu sekadar gurauan, namun ramai yang percaya kalau saya terus diamkan diri. Saya bukan saja sudah ‘bersih’, merokok pun dah berhenti.

“Kalau mereka nampak saya seperti ambil dadah semula, saya cabar buat tindakan ikut saluran yang betul. Laporkan sahaja kepada pihak berwajib sebab saya tahu saya tak bersalah, bukannya aibkan begini.

“Jika berani, jom bersemuka dan cakap di depan saya. Laporan polis ini juga sebagai pengajaran kepada semua supaya jangan mudah cap bekas penagih. Kalau tak sokong pun, jangan fitnah,” katanya lagi.