fbpx

Bengang Dituduh Masih Hisap Dadah, Ameng Buat Laporan Polis

Penyanyi Ameng Spring meluahkan rasa terkilan apabila dituduh masih terlibat dengan penagihan dadah ketika membuat persembahan secara langsung di Facebook Artise Voice Of Legend (AVOL) Sabtu lalu.

Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang boleh menjejaskan namanya, Ameng membuat laporan polis terhadap dua individu di Balai Polis Danau Kota, semalam.

BACA: Ameng Spring Khatamkan Al-Quran Lebih 100 Kali Di Penjara

“Assalamualaikum. Terlebih dahulu saya mohon maaf kalau perkataan saya ini mengganggu sesetengah pihak. Ketika saya membuat persembahan di AVOL semalam, ada orang komen negatif kata saya masih lagi hisap dadah.

“Rasanya orang-orang yang berfikiran negatif dan bersangka buruk terhadap orang lain elok pergi mati sahajalah,” katanya di satu video menerusi Instagramnya.

Penyanyi berusia 52 tahun itu tindakan individu berkenaan menjejaskan pendapatannya serta mendakwa individu yang memfitnahnya itu berkemungkinan terlibat dengan penagihan dadah.

“Mungkin dia sendiri yang hisap dadah. Jadi bolehlah saya buat laporan polis. Kita tengok nanti. Mereka telah memfitnah dan cuba hendak menjatuhkan nama baik saya dalam media sosial.

“Jadi, saya telah membuat laporan polis terhadap dua individu yang meninggalkan komen berbaur fitnah terhadap saya sekali gus boleh menjejaskan pendapatan saya,” katanya.

Terdahulu, dua netizen meninggalkan komen berbaur fitnah menuduh Ameng terlibat dengan dadah kerana dilihat mengacipkan giginya ketika membuat persembahan.