Baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-18 Januari lalu, kesetiaan pelakon Edika Yusof menjaga isterinya Norhidayah Yusri, yang lumpuh sejak 16 tahun lalu dikagumi netizen.

Edika berkata apa yang penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga adalah kejujuran. Kata Edika lagi, dia tidak pernah menyorokkan sebarang rahsia daripada pengetahuan isterinya.

BACA: “Isteri Adalah Jodoh & Teman Sejiwa, Bukan Pembantu Rumah”

Edika mendedahkan dia tidak pernah menghalang isteri daripada memeriksa telefon bimbit. Sering menerima panggilan daripada wanita, Edika berkata dia menyerahkan kepada isteri untuk menjawabnya.

“Sepanjang berkahwin, saya tak pernah menyorokkan sebarang perkara daripada pengetahuan isteri. Saya akui, cabaran amat besar apabila bergelar pelakon. Sentiasa ada wanita yang cuba mendekati saya.

“Sejak mula isteri sakit, saya sering menerima panggilan daripada wanita. Sampai sekarang masih ada yang menghantar mesej langsung dalam laman sosial, tetapi saya tidak melayannya.

“Ada antara mereka yang berani menghubungi saya, tetapi saya akan menyerahkan telefon kepada isteri untuk menjawabnya,” katanya.

Dalam pada itu, Edika berkata sebagai seorang suami perlu jujur pada isteri kerana jika kita menyorokkkan sesuatu daripada pasangan akhirnya akan terbongkar jua.

“Tiada apa yang perlu disorokkan dengan isteri. Bukan hendak berlagak hebat, tetapi semua ini kuasa tuhan. Cuma selagi boleh elak, saya elak. Ini kerana jika kita cuba sorok sesuatu, lambat laun Tuhan akan tunjuk juga,” katanya.

×