fbpx

“Saya Rasa Lega, Tapi Tidaklah Sampai Nak Melompat”

Beberapa bulan lalu kecoh apabila pelakon Syafie Naswip dan Aishah Azman dikhabarkan putus tunang. Lebih menjadi perhatian apabila berlaku insiden tidak diingini apabila Syafie didakwa mencederakan Aishah dan bekas tunangnya itu  bertindak membuat laporan polis.

Namun selepas dijalankan siasatan sepenuhnya dan Syafie secara sukarela datang memberi keterangan, pihak pendakwa raya membuat keputusan kes adalah Tiada Tindakan Lanjut (TTL) kerana tiada keterangan yang mencukupi.

BACA: Netizen Dedah Cerita Bekas Tunang Kawal Syafie Naswip?

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dengan keputusan siasatan yang dibuat dengan penuh telus oleh pihak berwajib.

“Sekurang-kurangnya ia telah membuktikan segala tuduhan yang dibuat ke atas saya adalah tidak benar dan saya berterima kasih dengan doa semua,” katanya kepada Astro Gempak.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam Syafie, iaitu Muhammad Ashraff Mohd Diah daripada Ashraff Al-Hizan & Associates.

Dalam pada itu, Syafie bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga serta peminat semua yang tidak putus-putus menghantar kata-kata semangat dan doa kepadanya berhubung kes tersebut.

“Betullah pesan dan ingatan Mak setiap masa pada Ayie, doa orang yang teraniaya memang tiada hijabnya. Dan itulah yang Ayie doakan setiap masa.

“Saya rasa sangat lega dengan keputusan yang diberitahu oleh pihak peguam, tapi tidaklah sampai nak melompat,”ujarnya.

Terdahulu Syafie dan Aishah telah bertunang pada awal April lalu namun mengumumkan sudah putus tunang selepas empat bulan. Tidak lama kemudian, timbul pula kes pergaduhan diantara mereka membabitkan ‘status’ Syafie.