fbpx

“Saya Nak Minta Maaf Untuk Apa?”

Baru-baru ini, kenyataan jutawan terkenal Datuk Seri Vida dikecam hebat apabila meminta mereka yang terjejas diluar sana supaya berusaha daripada bergantung dengan bantuan bendera putih sahaja.

Susulan kontroversi itu, Vida berkata dia tidak akan membuat permohonan maaf susulan kenyataannya dan tiada keperluan berbuat demikian kerana dia tidak bermaksud menghalang bantuan bendera putih.

BACA: “Jangan Guna Alasan PKP, Usaha, Jangan Malas!”

“Saya nak minta maaf untuk apa? Netizen sebenarnya banyak buat tafsiran sendiri. Banyak komen-komen yang menghentam saya. Ada yang kata saya kaya tapi riak tak nak tolong orang dan macam-macam lagi.

“Maksud saya, kita boleh beri bantuan kepada mereka ini. Namun, dalam masa sama mereka kenalah buat sesuatu daripada mengharap bantuan semata-mata,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Vida menyifatkan mereka yang menaikkan bendera putih malas berusaha dan mencari pendapatan ketika PKP. Ujarya lagi bantuan diberikan hanya sementara sahaja dan mereka perlu usaha.

“Habis takkan mereka nak duduk saja? Cakap-cakap saya serba tak kena dan orang main hentam walaupun saya buat penjelasan sebenar.

“Pada saya, mereka kena buat kerja seperti mula berniaga walaupun tanpa modal. Jangan hanya mengharapkan bantuan. Ikutkan ada juga orang yang susah tapi dia tak angkat bendera putih.

“Pandangan saya ialah dari sudut orang berniaga di mana mereka yang diberhentikan kerja pasti ada duit. Mengapa tak ambil sedikit untuk buat modal berniaga?” katanya.

Dalam pada itu, Vida mengakui banyak pihak menanti masa untuk menghentam dan enggan pedulikan kecaman tersebut. Namun, Vida mengatakan dia sudah banyak menyumbang sejak tahun lalu.

“Sejak tahun lalu lagi saya sebenarnya dah banyak menyumbang tapi bukanlah saya hantar sendiri atau turun padang. Alhamdulillah ribuan juga saya bantu. Tapi dalam keadaan sekarang saya pun dah rasa bosan dan nak turun padang bagi bantuan pada peniaga.

“Bolehlah saya buat video sikit. Bukan niat saya nak balas dendam kerana nanti netizen kata dah kena kecam nak tunjuk baik pula,” katanya.