fbpx

“Saya Memang Sakit, Suara Tak Boleh Keluar Langsung”

Minggu lalu, nama penyanyi Zamani menjadi bualan ramai apabila gagal membawakan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Namun, timbul spekulasi liar daripada sesetengah pihak yang mendakwa penyanyi itu hanya berdrama kehilangan suara.

Bagaimanapun, Zamani menafikan tuduhan negatif tersebut serta menjelaskan bahawa pada ketika itu beliau sememangnya sakit dan tidak boleh mengeluarkan suara langsung. Kata Zamani lagi, pada awalnya beliau tidak mahu membuat persembahan, namun diteruskan juga demi peminatnya.

BACA: ‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’ Kembali Hit Kerana Zamani

“Saya memang sakit, suara saya memang tak boleh keluar langsung. Saya tak perlu ulas panjang lebar mengenai tuduhan berdrama kerana saya memang sakit. Mahu percaya atau tidak, saya sendiri tak mampu nak komen.

“Terima kasih kepada pihak produksi. Pada mulanya, saya enggan berada di pentas kerana tak mahu memalukan diri kerana saya memang tak boleh menyanyi disebabkan kehilangan suara. Namun, melihatkan kepada semangat peminat yang tidak pernah penat menyokong, saya lupakan kesakitan yang dirasai dan mencuba untuk menyanyi,” katanya kepada Astro Gempak.

Zamani turut meluahkan rasa terharu apabila mendapat imuniti daripada Datuk Seri Aliff Syukri dan akan melakukan terbaik dengan peluang yang diberikan. Dalam pada itu, Zamani memberitahu beliau masih mendapatkan rawatan untuk pastikan dirinya benar-benar sembuh.

“Saya masih mendapatkan rawatan dan beransur pulih. Menurut doktor, tiada sebarang kecederaan di peti suara saya tetapi ada sedikit tanda kemerahan. Doktor sendiri tak tahu punca mengapa saya hilang suara tetapi saya akan tetap meneruskan rawatan untuk kembali sembuh seperti sediakala,” katanya.