fbpx

“Saya & Fizi Sudah Cuba Perbetulkan Hubungan Tapi…”

Rumah tangga pelakon Shakilla Khoriri dan penyampai radio, Fizi Ali yang dibina selama tiga tahun berakhir dengan perpisahan. Khabar duka itu dimaklumkan oleh Fizi menerusi Instagram miliknya siang tadi.

Akur jodohnya dengan Fizi hanya setakat ini sahaja, Shakilla berkata terlalu peribadi untuk mendedahkan punca perpisahan mereka.

BACA: Tiga Tahun Kahwin, Fizi Ali & Shakilla Khoriri Bercerai

“Ya, betul saya dan Fizi sudah berpisah. Mengenai hantaran dimuat naik Fizi menerusi Instagram (IG), itulah kenyataannya, kami memang sudah tiada apa-apa ikatan lagi.

“Saya tahu berita ini amat mengejutkan, bukan hanya orang luar yang tidak rapat dengan kami, malah, sanak saudara dan rakan-rakan juga terkejut,” katanya.

Menurut Shakilla, dia dan Fizi cuba untuk memperbaiki hubungan mereka dan mengakui sedih di atas apa yang berlaku, namun percaya dengan ketentuan Allah.

“Jujurnya, saya dan Fizi sudah cuba untuk memperbetulkan hubungan, tetapi, akhirnya mungkin perpisahan boleh membuka fikiran dan hati masing-masing untuk memandang lebih jauh.

“Jika ditanya apa perasaan, saya memang sangat sedih hingga tahap sudah tiada air mata untuk ditangisi. Sayang memang terlalu sayang pada ikatan kami tiga beranak, tetapi saya lebih percaya pada ketentuan Allah,” katanya.

Shakilla berkata apa yang berlaku pada rumah tangga mereka adalah pembelajaran besar buat dirinya dan bekas suami serta tidak mahu memanjangkan cerita tersebut.

“Saya akui, kami mungkin mempunyai kesalahan dan kekurangan diri. Jadi, apa yang berlaku adalah pembelajaran yang sangat besar, baik untuk saya mahupun Fizi. Saya percaya ia boleh membuatkan kami lebih matang dalam membuat keputusan pada masa akan datang.

“Faktor dan puncanya, saya minta maaf. Biarlah ia menjadi rahsia yang terpendam, saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan. Saya anggap perkara sudah berlaku dan tidak perlulah memanjangkan cerita mengenai kenapa kami mengambil keputusan untuk berpisah,” katanya.