Sejak kebelakangan ini, pelakon berbadan sasa Zul Ariffin dilihat kerap bertemu dengan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dan semakin mendekatkan diri mencari reda Ilahi.

Zul mengakui dia pernah lalai dan leka dalam menunaikan solat lima waktu. Ujarnya, dia memahami tentang kesukaran untuk cuba menjadi manusia yang lebih baik.

BACA: Zul Ariffin Tarik Diri Dari Anugerah Bintang Popular

“Jaga solat dan insya-Allah, semua yang lain Allah akan jaga. Bagaimanapun, disiplin nak buat (tunai solat dan buat amalan baik) itu yang perlu terus dipelajari.

“Saya faham sebab sebelum ini pun, saya tergolong dalam kalangan orang yang bersepah solat. Saya faham kesukaran dan ujian untuk memulakan sesuatu terutama tiang agama. Itu belum perihal yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Zul berkata dia terus ingin mendalami ilmu agama namun dia tidak bermakna dia ingin bersara dalam dunia seni. Ujarnya, dia sayangkan kerjaya lakonannya dan sudah lama belajar agama secara senyap-senyap.

“Saya pergi majlis ilmu jumpa orang bijak agama atas dasar nak belajar. Nak amalkan ilmu atas diri sendiri itu yang mencabar tapi sekurang-kurangnya, saya berada di tempat (majlis ilmu) buatkan saya rasa lebih bagus daripada membazir waktu yang ada.

“Saya sayang kerjaya lakonan tapi pada masa sama, saya suka belajar tentang agama kita dan sebenarnya. Sudah lama saya belajar secara senyap-senyap cuma disebabkan ada orang berilmu ajak berkenalan, bagi saya, itu semua susunan Allah nak beri peluang saya kenal tambah ilmu dan pengalaman,” katanya.

Kata Zul lagi, dia berharap orang ramai mula menyedari perubahan dirinya untuk mendekatkan diri dengan agama akan turut bergerak ke jalan sama.

“Jadi, saya harap dengan tengok saya yang penuh dosa ini sedikit sebanyak orang di luar sana boleh usaha jadi lebih baik. Belajar perlahan-lahan. Kita semua manusia biasa yang nak belajar,” katanya.