Sebut sahaja nama Wan Maimunah, pasti ramai tahu pelakon veteran itu sememangnya popular dengan watak air mata. Berapa bulan lalu tular videonya menangis terharu dengan sumbangan yang diberikan kepadanya.
Bagaimanapun, Wan Maimunah berkata setiap kali dikunjungi tetamu pasti dia akan menangis terharu. Bukan sengaja dibuat-buat, Wan Maimunah atau lebih mesra dengan panggilan ibu mengakui hatinya mudah tersentuh.
BACA: “Netizen Hentam Seniman Kerana Saya, Tentu Saya Rasa Bersalah”
Baru-baru ini, air mata Wan Maimunah gugur lagi apabila menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
“Saya memang cepat emosi dan mudah menangis. Bukan membabitkan manusia sahaja tapi kalau tengok kucing terbiar pun saya akan menangis.
“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Freddie dan pihak kementerian kerana ingat pada saya. Setiap yang baik pasti baik juga balasannya. Saya tak dapat membalasnya,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Wan Maimunah berkata dia menghadiahkan sekeping wang RM1 pada mereka yang mengunjunginya. Wang kertas itu turut ditandatangnaninya kerana ia pasti akan berharga selepas dia tiada suatu hati nanti.
“Bagaimanapun, selepas solat Subuh tadi, saya mendapat ilham mahu menghadiahkan sekeping wang RM1 kepada setiap yang hadir hari ini sebagai tanda kenangan.
“Tandatangan ini diturunkan pada tarikh bersejarah 1 Jun 2020. Keputusan ini terlintas tiba-tiba. Wang ini pun ikut siri yang sudah lama saya simpan,” katanya.