fbpx

“Netizen Hentam Seniman Kerana Saya, Tentu Saya Rasa Bersalah”

Sebut sahaja nama Wan Maimunah, pasti ramai tahu pelakon veteran itu sememangnya popular dengan watak air mata. Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila tular videonya menerima sumbangan sambil menangis.

Bagaimanapun, Wan Maimunah berkata beliau bukannya sengaja menangis atau menunjuk perasaan sebak di khalayak ramai. Namun, beliau sangat mudah menitiskan air mata, lebih-lebih lagi saat berdepan dengan kemelut hidup.

BACA: Wan Maimunah Sebak Terima Bantuan Makanan

“Saya tahu ramai peminat sayangkan saya. Melihat saya menangis sambil menerima sumbangan, mereka beranggapan saya dipinggirkan. Sedangkan, saya menangis bukan tiada siapa menghulurkan bantuan atau menjenguk saya.

“Saya terharu menerima kunjungan Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa ustaz muda di kediaman anak angkat di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor. Mereka sanggup menghantar bantuan biarpun saya duduk jauh,” katanya.

Ujarnya lagi, dia sedih sehingga jatuh sakit susulan videonya itu ramai yang mengecam Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) kononnya tidak menghulurkan bantuan kepadanya sedangkan mereka paling awal memberi bantuan kepadanya.

“Bagaimanapun, netizen tersalah anggap, mereka mengecam Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) terutama presidennya, Zed Zaidi dengan teruk. Saya sedih hingga tak terkata.

“Saya amat sedih, nak bangun pun tak berdaya dan kena pegang dinding terlebih dahulu. Netizen hentam SENIMAN kerana saya. Tentunya, saya rasa bersalah. Sedangkan SENIMAN antara persatuan terawal yang menghulurkan bantuan kepada saya,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Wan Maimunah berkata beliau masih sihat, namun kesihatan agak terjejas kerana runsing dengan isu yang ditimbulkan netizen itu sehinggakan tiada selera makan.

“Ada yang anggap saya sakit, tetapi Alhamdulillah, saya masih sihat. Cuma kesihatan agak terjejas apabila runsing dengan isu yang ditimbulkan netizen.

“Saya terfikir apa agaknya anggapan Zed dan persatuan lain terhadap saya apabila netizen menyalahkan mereka. Saya malu dan bimbang mereka terasa hati. Kesihatan saya terjejas berhari-hari, langsung tiada selera nak makan. Hanya minum air kosong,” katanya.

Kini menumpang di rumah anak angkatnya, Wan Maimunah meluahkan rasa syukur rezekinya sentiasa mencukupi, malah ada kala sumbangan diberikan dihulurkan kepada keluarga lain yang memerlukan.