Hangat diperkatakan mengenai konsert minggu pertama All Stars Gegar Vaganza (GV) pada Ahad lalu, gurauan pengacara Nabil Ahmad berkenaan ketiadaan penyanyi, Mamat sebagai peserta musim ini.
Memetik Harian Metro, Nabil berkata dia mengatakan Mamat berada di tempat tinggi bermaksud penyanyi itu seorang legend namun disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
BACA: “Kita Tak Dapat Mamat Sebab Dia Di Tempat Paling Tinggi” – Nabil Ahmad
Menurut Nabil lagi, sebagai pengacara dia perlu berusaha untuk menghidupkan program popular itu serta memastikan tidak menjatuhkan mana-mana pihak.
“Saya tidak akan bercakap perkara yang akan menjatuhkan air muka seseorang. Mamat adalah seorang ‘legend’ terkenal dalam dunia seni ini.
“Apa yang anda fikir tidak sama dengan maksud sebenar yang saya cuba sampaikan. Takkanlah dalam program siaran langsung saya nak cakap sesuatu yang boleh menghancurkan karier saya.
“Tambah pula, saya pernah dikecam sebelum ini gara-gara kurang sensitif ketika mengacarakan program ini untuk musim terdahulu. Jadi sudah tentulah saya akan lebih berhati-hati dan dipantau pihak produksi,” katanya.
Dalam pada itu, Nabil turut meminta pihak diluar sana agar berhenti mensensasikan kenyataannya kerana ia bukan seperti yang mereka fikirkan.
“Saya menghormati setiap penyanyi lama yang ada di Malaysia. Mereka ini adalah figura yang berbakat besar dan mempunyai kredibiliti tersendiri.
“Jangan disebabkan ada pihak cuba melaga-lagakan, saya pula menjadi mangsa sedangkan kenyataan saya tidak membawa maksud yang kebanyakan daripada anda fikir.
“Saya tetap dengan pendirian saya yang mengatakan maksud sebenar Mamat berada di tempat tinggi adalah dia seorang ‘legend’ dan penyertaannya dalam program GV sebelum ini sudah meletakkan dia di tahap yang lebih tinggi” katanya.