fbpx

“Saya Bertudung Bukan Sebab Siti Sarah, Tapi Kerana Allah”

Sempena Maal Hijrah baru-baru ini, pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad membulatkan hatinya untuk berhijrah ke arah lebih baik dengan mengenakan tudung.

Mengakui sudah lama menyimpan niat untuk bertudung, Elizad berkata dia mula mengenakan tudung selepas suaminya, Shamsul Baharin membeli beberapa helai tudung untuknya secara dalam talian.

BACA: Sudah Lama Simpan Niat, Doa Suami Elizad Untuk Bertudung Termakbul

Berkongsikan perasaan selepas berhijab, Elizad berkata dia sangat selesa dengan penampilan terbarunya itu namun dia cuba perlahan-lahan perbaiki kelemahan diri.

“Saya masih cuba perlahan-lahan memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Seperti anda lihat saya masih dengan gaya Siti Elizad seperti memakai tali pinggang dan anting-anting.

“Apa pun doa saya kepada Allah SWT supaya dibukakan pintu hati untuk lebih menjadi muslimah yang lebih baik tidak akan pernah berhenti dan harapnya kekal istiqamah,” katanya.

Ramai beranggapan pelakon itu memakai tudung selepas mendapat hadiah tudung daripada Allahyarham Siti Sarah, Elizad berkata dia bertudung kerana Allah dan bukan disebabkan orang lain.

“Seboleh-bolehnya saya tak mahu kaitkan hijrah saya dengan arwah atau kisah-kisah kebaikan arwah. Saya pakai tudung kerana Allah dan niat sendiri bukan disebabkan orang lain.

“Perkara lain yang saya nak cakap tentang arwah, dia selalu beri hadiah kepada saya dan sangat bangga dengan Shuib yang sangat tenang menghadapi dugaan ini,” katanya.