fbpx

“Saya Bersyukur Allah Gantikan Suami Yang Sangat Baik”

Menganggap dirinya wanita bertuah, penyanyi Elly Mazlein berkata kehadiran suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh memberi peluang untuknya mengecap kebahagiaan semula.

Elly turut meluahkan rasa syukur dengan nikmat Allah apabila menggantikan suami yang sangat terbaik untuk dirinya. Tidak banyak yang diminta, Elly berharap suaminya bahagia dengannya.

BACA: Elly Mazlein Selamat Bersalin Anak Kedua

“Saya bersyukur sangat sebab Allah gantikan suami yang sangat baik. Saya tak pernah merasa rasa apa yang suami buat sekarang sama ada untuk saya, anak dan bapa saya.

“Anak saya Sefhia tak pernah rasa sentuhan, belaian seorang bapa dan saya pun tak pernah merasa berjalan dengan suami dan anak. Saya tak pernah rasa semua itu sebelum ini.

“Tapi Alhamdulillah, Allah bagi saya peluang tersebut semula. Saya tak minta apa-apa dengan suami. Cuma minta dia bahagia dengan saya, bertanggungjawab, sayang saya, anak dengan bapa serta setia,” katanya.

Berkongsikan perkara itu menerusi program Keringat Selebriti di Awesome TV, Elly menitiskan air mata apabila menyentuh hal keluarga.

Elly dan Azlan yang merupakan seorang cikgu mendirikan rumah tangga pada Januari 2020. Pasangan itu dikurniakan seorang putera bernama Haider Mateen kini berusia empat bulan.

Terdahulu, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 2015 namun bercerai ketika dia sedang hamil anak pertama, Putri Sara Sefhia yang baru empat bulan dalam kandungan. Kini Sefhia sudah mencecah usia enam tahun.