Pelakon dan pengacara Elly Mazlein memberitahu bahawa dia kini dalam meniti fasa kebahagiaan dan teruja menantikan saat-saat menjelangnya perkahwinan yang dikhabarkan berlangsung pada tahun hadapan.
Elly memberitahu, dia pasti akan berkongsikan berita gembira itu nanti dan akan mendedahkan wajah sebenar kekasihnya itu pada majlis malam berinai kelak.
BACA: Elly Mazlein Bakal Kahwin Tahun 2020?
“Boleh dikatakan saya wanita yang paling bahagia sekarang. Sejujurnya saya rasa tak sabar nak tunggu hari tersebut.
“Saya sangat teruja untuk perkahwinan kali ini kerana Sephia pun sangat menyayangi dan keluarga pun menerimanya. Benarlah rancangan Allah dan susun begitu cantik. Selepas rezeki yang mencurah-curah kini pula dipertemukan pula dengan jodoh yang baik.
“Selebihnya saya akan maklumkan kemudian. Saya pasti akan kongsikan berita gembira ini kepada rakan-rakan semua. Kita tunggu masa yang sesuai. Mungkin malam berinai nanti saya akan dedahkan wajah sebenar dia,” katanya kepada Rotikaya.
Menurut Elly lagi, dia menganggap perkahwinannya kali ini merupakan kali pertama dan mengimpikan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang lebih besar dan meriah.
“Saya anggap ini perkahwinan pertama saya. Apa saja yang saya tak pernah rasa sebelum ini, saya akan buat dalam majlis kali ini.
“Perkahwinan sebelum ini berlangsung ketika mama saya baru saja meninggal dunia. Majlis pun dibuat di surau sahaja. Kalau boleh kali ini saya teringin nak rasa yang meriah sedikit. Kebetulan bakal suami pun tak pernah berkahwin lagi,” katanya kepada Rotikaya.