fbpx

Bakal berkahwin lagi, pelakon Anita Baharom berkata dia bersabar apabila ada netizen menghantar mesej macam-macam terhadapnya sebaik sahaja mengetahui tentang beritanya.

Memetik Harian Metro, Anita berkata ada netizen menghantar mesej secara DM memintanya supaya menunggu sekurang-kurangnya setahun selepas pemergian suami jika mahu berkahwin lagi.

BACA: Anita Baharom Nak Kahwin 22 Disember Ini?

“Saya hanya mampu bersabar menerima mesej-mesej seperti itu. Kalau jawab nanti, dibimbangi jadi persepsi lain pula. Apapun, saya berterima kasih sebab masih ramai lagi yang mengirimkan mesej positif melalui Instagram, termasuk mengucapkan tahniah di atas jodoh ini,” katanya.

Enggan mempedulikan apa yang diperkatakan netizen, Anita berkata mereka di luar sana tidak tahu apa yang dilalui olehnya serta menganggap jodohnya itu ada rezeki daripada Allah.

“Pada saya, biarlah orang nak cakap apa saja kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang saya tanggung. Apa trauma saya alami hingga sekarang. Mereka tidak duduk di tempat saya dan buat apa nak melayan dan terlalu memikirkannya.

“Saya anggap kehadiran jodoh baharu ini rezeki daripada Allah. Setiap orang itu, dugaan dan jalan hidup ditempuhi berbeza-beza. Saya pula menerima semua ini dengan dengan rasa syukur, reda dan seikhlas hati,” katanya.

Anita bakal bernikah kali kedua Khamis ini dengan Engku Isyamuddin Tuan Losin di Subang Jaya, Selangor.

Difahamkan, bakal suami Anita berstatus duda dan kedua-dua mereka sudah saling mengenali sejak 2017 ketika acara Sukan Sea di Kuala Lumpur. Hubungan pasangan ini mula rapat selepas Anita habis edah selepas kematian suaminya.

Suami Anita, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail yang meninggal dunia pada 1 Januari lalu. Hasil perkahwinan Anita bersama Allahyarham Mohd Ismadi, mereka dikurniakan tiga anak, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.