Sejak semalam hangat diperkatakan apabila dua artis terkenal akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam.
Susulan itu ada yang mendakwa Sharnaaz Ahmad antara selebriti yang dikatakan bakal dipanggil SPRM. Bagaimanapun, Sharnaaz memberitahu setakat ini dia masih belum dihubungi mana-mana pihak dan bersedia memberikan kerjasama sekiranya dipanggil.
BACA: Dua Artis Terkenal Akan Dipanggil SPRM Berhubung Urusan Wang Haram
“Setakat ini, belum ada sesiapa dari SPRM yang menghubungi saya. Lagipun, kalau mereka hendak panggil, ia tidak akan beritahu lebih awal.
“Tahu-tahu sahaja sudah berada di sana. Bagaimanapun, sama ada dipanggil atau tidak, saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan,” katanya kepada BH Online.
Sharnaaz turut mengakui pernah menghubugi SPRM bagi memberikan keterangan ketika isu panas sebelum ini, namun tidak dapat berkongsikan perkara itu kerana enggan mengganggu perjalanan kes.
“Cuma saya tidak boleh hendak kongsi maklum balas SPRM berhubung penjelasan saya itu kerana ia sulit dan peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Sharnaaz berkata perniagaan kedai minuman yang diusahakannya masih berjalan seperti biasa cuma kesannya lebih kepada jenama yang agak sedikit terjejas.
“Alhamdulillah, perniagaan saya seperti biasa dan tiada apa-apa yang berlaku. Cuma daripada segi jenama, ia agak terjejas. Bagi saya, kita tak perlu takut kalau kita tidak salah. Kita hanya berada pada masa dan tempat yang silap.
“Kita tak boleh menghakimi orang. Walaupun dia pakai baju warna oren, selagi mahkamah tak jatuhkan hukum, kita tak boleh kata mereka itu bersalah. Mereka hanya dipanggil untuk disoal siasat sahaja,” katanya.