fbpx

Dua Artis Terkenal Akan Dipanggil SPRM Berhubung Urusan Wang Haram

Harian Metro melaporkan dua artis terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam.

Difahamkan, artis lelaki dan wanita itu akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela.

BACA: Zed Zaidi Gesa Artis Terlibat Kes ‘Cuci Duit’ Tampil Bantu SPRM

Sumber memberitahu, kedua-dua selebriti itu menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih 1 juta pengikut di media sosial.

“SPRM sudah memberi tempoh masa kepada individu terbabit untuk tampil, namun mereka berdua termasuk individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini gagal hadir memberi keterangan.

“Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini SPRM meminta individu pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, difahamkan artis serta selebriti terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram Macau Scam itu enggan tampil membantu siasatan.