Dilihat tampil berhijab, pelakon Salina Saibi berkata dia belum berani mengesahkan penghijrahannya kerana bimbang tidak mampu untuk istiqamah.
Memetik BH Online, pelakon berusia 44 tahun itu berkata dia berdoa agar diberi kekuatan serta mengakui dirinya insan yang lemah serta iman tidak kuat.
BACA: Salina Saibi Mohon Doa Kekal Istiqamah Berhijab
“Saya takut juga nak bercakap mengenai perkara ini (bertudung). Tetapi setakat ini semuanya baik. Inilah diri saya sekarang, apa yang orang nampak, inilah saya.
“Perubahan ini berlaku selepas saya pulang daripada mengerjakan umrah. Insya-Allah doakan saya kerana saya pun insan yang lemah dan iman saya juga tidak kuat.
“Setiap kali memakai tudung, ada sahaja bisikan yang menguji. Kadang-kadang bukan sahaja daripada syaitan, tetapi juga daripada diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Salina mengakui rindukan penampilan rambutnya serta menyifatkan ianya dugaan penghijrahannya itu dan kita tidak tahu berapa lama akan hidup di dunia.
“Saya memang rindu rambut saya yang dulu. Saya akui rambut saya sangat cantik dan itu antara dugaan terbesar saya. Tetapi saya fikir, sampai bila lagi kita hendak mengejar perkara dunia? Umur pun sudah menghampiri separuh abad. Kita tidak tahu sampai bila Allah pinjamkan usia.
“Jadi kalau ada peluang untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri, lakukanlah. Jangan terlalu sibuk memikirkan orang lain sehingga terlupa memperbaiki diri sendiri,” katanya.
Sumber: BH Online