fbpx

Sajat Didakwa Miliki Produk Kosmetik Tanpa Kelulusan KKM

Usahawan kosmetik terkenal Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam atas pertuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, Sajat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd Rahman.

BACA: Disaman RM200,000, Sajat Lantik Siti Kasim Jadi Peguam

Mengikut pertuduhan, sepasukan anggota dan pegawai unit farmasi telah melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, kira-kira pukul 12 tengah hari, 15 Ogos tahun lalu sebelum merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

Ketika pemeriksaan dilakukan, Sajat tiada di premis berkenaan. Antara produk yang dirampas termasuklah pemutih kulit dan produk kecantikan lain.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peratutan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984.

Sajat didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.

Dalam pada itu. peguam bela Sajat memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya tidak pernah ingkar arahan mahkamah. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.