fbpx

Saharul Ridzwan Akui Pernah Boros Berbelanja Sampai Berhutang

Tidak malu untuk mengaku pernah mengalami zaman kejatuhan selepas selepas berdepan masalah kewangan pada 2017, Saharul Ridzwan berkata perkara itu terjadi kerana salahnya sendiri yang boros berbelanja.

Saharul berkata ketika itu dia berdepan kehidupan sukar sehingga terpaksa meminjam wang dalam jumlah yang banyak untuk meneruskan kelangsungan hidup. Malah, dia terpaksa menjual barangan dan koleksi peribadi untuk menampung kehidupan.

BACA: Saharul Ridzwan Pilih Nama Anak Kedua Fateema Azzahra

“Semuanya salah sendiri kerana saya tidak beringat. Bayangkan, pendapatan yang diperoleh dengan berlakon habis begitu sahaja. Saya boros berbelanja dan menghabiskan wang untuk perkara bukan-bukan dan tak menentu. Akhirnya, saya terdesak meminjam duit dengan kawan.

“Lebih menyedihkan, momen kronik dalam hidup berlaku selepas isteri melahirkan anak sulung, Muhammad Luth Ali. Saat itu, saya sampai tahap menjual barangan, nak gadai koleksi peribadi dan catu bawa duit RM30 sehari,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia mula tersedar apabila melihat Ali membesar depan mata dan nekad untuk berubah demi anaknya. Dalam masa yang sama, dirinya masih bergelut dengan ketiadaan wang ringgit.

“Saya anggap kehadiran Ali yang semakin membesar membakar semangat untuk keluar daripada zon tidak selesa. Saya tetapkan dalam diri Ali menjadi penyebab besar untuk saya berubah.

“Saya mula menyimpan duit untuk masa depan. Saya mula fikirkan masa depan keluarga. Adakah dengan berlakon semata-mata atau saya perlu jaminan lain. Saya keluarkan produk pada 2019. Saya percaya inilah waktu terbaik untuk terus merencana masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Saharul berkata rakannya, Fizo Omar menjadi individu yang berada di sisi dan banyak membantu ketika berdepan kegetiran hidup. Dedahnya, dia berjaya melunaskan hutang dan kini hanya tinggal hutang dengan bank sahaja.

“Saya akhirnya berjaya melunaskan hutang piutang. Cuma, kini tinggal hutang dengan bank sahaja. Alhamdulillah, hutang lain diselesaikan. Saya anggap ini adalah pencapaian terbaik,” katanya.

Saharul dan isteri, Qaabila Deena Emir Mohammed Akif Emir berkahwin pada 16 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ali dan Fateema Azzahra.