Sebelum ini pernah mendedahkan dirinya mengalami depresi dan Bipolar Disoder, usahawan kosmetik Safiey Illias mengakui fobia untuk memandu di jalan raya.

Menurut Safiey disebabkan itu juga dia terpaksa menyimpan kereta mewahnya selama hampir setahun. Safiey berkata fikirannya sering dibayangi berdepan kemalangan sehingga takut untuk memandu kereta.

BACA: Tak Tapis Bahan ‘Review’, Safiey Illias Dikecam Kandungan Iklan Keterlaluan

Bagaimanapun, menerusi perkongsian itu Safiey berkata dia gagahkan diri untuk memandu memandangkan kereta miliknya itu tidak bergerak dalam tempoh yang agak lama.

“Lama tak bawa kereta sebab anxiety dan depresi. Takut bawa sebab takut kereta meletup, tayar meletup, terbakar, masuk gaung.

“Itu saya hadap selama lapan bulan. Hari ini gagahkan juga sebab tahu sangat streng ini rindu dekat saya. Hampir lapan bulan juga kereta tak bergerak cuma panaskan enjin saja. Bila bawa kereta, pegang stereng rasa nak nangis, hiba,” tulisnya.

Dalam pada itu, Safiey berkata hatinya tersentuh apabila memandu kereta berkenaan serta bangga dan bersyukur di atas rezeki kurniaan Allah kerana dia membeli kereta itu ketika berusia 22 tahun.

“Betapa bangga pada diri dan bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi. Saya beli kereta ni masa umur 22 tahun.

“Walau banyak wira papan kekunci yang suka downkan saya, tapi saya fikir satu je. Setiap kecaman mereka menggambarkan hati mereka yang tidak tenang. Kecemburuan kerana gagal menjadi yang terbaik dalam kerjaya,” katanya.