fbpx

Ruhainies Keluar Duit Simpanan Bantu Peminat Kesusahan Hidup Akibat PKP

Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak sebulan lalu, ramai yang terjejas pendapatan kerana tidak lagi dapat keluar bekerja seperti biasa. Tidak hanya berpeluk tubuh ramai selebriti tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.

Tidak terkecuali, Ruhainies juga turut tampil memberikan sumbangan seikhlas hati kepada suadara mara dan para peminatnya yang berdepan masalah kewangan dengan mengeluarkan duit simpanannya sendiri.

BACA: Ruhainies Sudah Biasa Berjauhan Dengan Teman Lelaki

“Saya sebenarnya tak mahu bercerita mengenai bantuan yang diberi sebab takut orang salah anggap dan fikir kita hanya nak menunjuk-nunjuk, jadi saya rasa lebih baik bagi secara diam-diam.

“Awalnya saya terima banyak Whatsapp dari kawan-kawan dan peminat di Instagram yang bercerita mengenai kesempitan hidup mereka sepanjang PKP ini, bila saya semak memang mereka memerlukan.

“Saya dahulukan orang yang rapat seperti keluarga, adik beradik, saudara-mara dan peminat yang sentiasa menyokong saya sejak dahulu. Tak mahulah kita sibuk bantu orang jauh, rupanya orang yang dekat dengan kita masih belum dibantu,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ruhainies mahu turun padang memberikan bantuan kepada masyarakat dan peminat yang memerlukan, namun terpaksa melupakan hasratnya itu kerana enggan mengambil risiko membabitkan kesihatan ibu bapanya yang ada di rumah.

“Sebenarnya saya nak sangat turun padang hantar bantuan kepada peminat yang memerlukan tapi memandang risiko yang ada, jadi saya memilih untuk buat pindahan (transfer) wang sahaja.

“Sambil duduk rumah pun saya boleh bantu, antaranya buat review perniagaan peminat di Instagram secara percuma, sekurang-kurangnya dapat membantu menjana pendapatan mereka diwaktu sukar begini,” katanya.