fbpx

Rossa Nafi Dakwaan Bercinta Dengan Kerabat Malaysia

Diva Pop Indonesia, Datuk Rossa menepis dakwaan beliau kononnya sedang hangat bercinta dengan kerabat dari Malaysia seperti yang digosipkan.

Memetik laporan Harian Metro hari ini, pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta ini sebaliknya mengakui beliau kini sedang menjalin cinta dengan seorang ahli perniagaan Indonesia yang berusia lingkungan 40-an.

“Memang kami dalam proses mengenali hati budi tetapi belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini. Maklumlah, saya pernah berkahwin sebelum ini dan pasti saya perlu benar-benar bersedia sebelum berumah tangga semula”

“Buat masa ini, fokus saya pada karier seni dan membesarkan anak tunggal, Rizky dengan sebaik mungkin. Apapun, jika ada jodoh, saya juga mengharapkan hubungan kami akan berakhir dengan perkahwinan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai gosipnya dengan kerabat dari Malaysia itu, Rossa berkata beliau memang berkawan rapat dengan kerabat yang dimaksudkan itu.

“Saya terkejut bila dapat tahu saya digosipkan dengan kerabat berkenaan. Hakikatnya hubungan kami sudah lama rapat sebelum saya berkahwin lagi dan hanya sebagai kenalan baik saja, tidak lebih daripada itu”

“Pada masa sama saya sering menerima undangan persembahan dari pihak istana. Saya juga pernah membuat persembahan undangan daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini,” katanya.

Rossa sebelum ini pernah berkahwin dengan pemain drum kumpulan Padi, Yoyo, namun bercerai pada 14 Julai 2009. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizki Langit Ramadhan, 7. (rtky/fr)

Gambar oleh Faisol Mustafa