fbpx

Ropie Teringin Watak Serius Tapi Muka Dah Dicop Pelawak

Sangat sinonim dengan memegang watak komedi, bagaimanapun pelawak Ropie mengakui dia sejujurnya mahu membawa watak yang lebih serius dalam drama atau filem. Ujarnya, dia terbuka jika ada pengarah atau penerbit mahu menawarkan watak serius.

Bagaimanapun Ropie berkata sehingga kini masih tiada lagi tawaran watak sebegitu memandangkan dia dilihat lebih menonjol sebagai seorang pelawak. Katanya, apabila sudah dicop sebagai pelawak sukar untuk mendapat watak serius.

BACA: Hantu Kak Limah Kaut RM35 Juta, Hampir 3 Juta Penonton

“Sebelum ini hanya ada tiga pengarah sahaja yang beri saya watak serius iaitu Liza Ismail, Zul Arshad dan Ghani G, selepas itu tawaran banyak untuk watak komedi sahaja.

“Susah nak dapat watak lain sebab orang dah cop kita pelawak..macam Ebby Yus dan Bell bila dah buat komedi, orang tak panggil untuk watak serius,” katanya.

Kata Ropie lagi, meskipun tiada tawaran selain watak komedi, namun dia tidak terkilan mahupun berkecil hati kerana karier sebagai pelawak turut memberi pulangan berbaloi sama seperti pelakon lain.

“Walaupun tak ada tawaran watak serius tapi saya tak terkilan sebab jiwa saya sebelum jadi artis memang nak jadi pelawak. Sekarang ni jadi pelawak tak macam dulu.

“Alhamdulillah sekarang ni stesen televisyen buat pelbagai rancangan komedi, pelawak pun dah okay. Mungkin saya tidaklah sehebat mereka cuma okaylah berbaloi, tolak sana sini lepaslah untuk hidup,” katanya.