RM4 Juta Bantu 5,000 Rakyat Selangor Hilang Kerja Mulakan Perniagaan

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM4 juta bagi melaksanakan inisiatif Transisi Kerjaya PLATS yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 rakyat negeri itu yang kehilangan pekerjaan tahun ini dengan membuka laluan ke bidang keusahawanan.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, separuh daripada kira-kira 10,000 warga Selangor yang kehilangan pekerjaan tahun ini akan ditawarkan menyertai program berkenaan.

“Separuh daripada 10,000 warga Selangor yang hilang pekerjaan pada tahun ini, iaitu 5,000 slot akan disediakan untuk mereka menyertai program.

“Mereka akan ditawarkan bantuan data internet selama 12 bulan supaya dapat mengakses platform digital, melalui modul latihan dan memohon pembiayaan untuk memulakan perniagaan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, pada Jumaat.

Melalui program itu, Amirudin berkata peserta akan menerima pendedahan kepada strategi asas keusahawanan, latihan dan bimbingan perniagaan di bawah pemantauan pengurusan PLATS sebelum diberi akses kepada ekosistem perniagaan yang lebih luas.

Selain bantuan data internet selama setahun, setiap peserta turut menerima elaun perjalanan bagi mengurangkan beban kos sepanjang mengikuti program tersebut, katanya.

“Selain daripada mewujudkan peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa warga Selangor perlu diberikan peluang untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai jalan untuk meningkatkan kualiti hidup.

“Kerajaan Negeri akan menawarkan laluan untuk golongan pekerja yang hilang mata pencarian atau mereka yang ingin menjadi usahawan untuk diberikan pendedahan berkenaan strategi asas keusahawanan,” ujarnya.

Inisiatif Transisi Kerjaya PLATS merupakan antara langkah yang diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang memberi fokus kepada usaha melindungi syarikat dan subsektor ekonomi yang terkesan akibat konflik di Asia Barat, di samping membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa.

×