fbpx

Rita Rudaini Sebak Lihat Anak Renung Kaabah

Bukan mudah untuk membesarkan anak apatah lagi bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata kerana dialah ibu dan dialah bapa. Namun ianya tidak mustahil buat pelakon Rita Rudaini yang sudah lapan tahun memikul tanggungjawab tersebut.

Baru saja menjengah tahun 2020, bagi Rita 2019 memberikan kenangan terindah buat dirinya apabila dapat mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini bersama dua anaknya Airit Rayyan Rizqin, 11, dan Airit Rafqa Arjuna, 9.

BACA: Rita Rudaini Mahu Anak Jadi Al-Hafiz Sebelum Tutup Mata

Berkongsikan pengalamannya ketika di Tanah Suci, Rita berkata dia tidak dapat menahan sebak apabila melihat kedua-dua anaknya dapat merenung Kaabah dan dapat menyempurnakan ibadah umrah dengan sempurna.

“Apabila tengok anak merenung Kaabah, hati sayu sangat. Saya hanya mampu menangis. Lagi pula sebelum ini saya selalu pesan, kehidupan mereka ada saya dan Allah SWT saja.

“Kalau suatu hari nanti saya tidak ada pun, mereka tidak berkeseorangan kerana Allah ada dan takkan pernah tinggalkan kita,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Rita berkata kunjungan ke Tanah Suci itu sedikit sebanyak mengingatkan kembali kenangan lapan tahun lalu apabila dia berdepan masalah rumah tangga dengan bekas suami dan dia membawa diri ke Mekah bersama Rayyan yang ketika itu berusia tiga tahun.

“Saya korbankan rasa dengan berat hati tinggalkan anak bongsu yang baru nak masuk setahun untuk datang menyerah diri pada Allah demi mencari jawapan dalam menyelesaikan segalanya.

“Di sana, saya mendapat jawapan. Di sana, Dia menjadikan hati saya kuat untuk tempuh apa saja apabila kembali ke tanah air,” katanya.