fbpx

Rita Rudaini & Lisdawaty Berdamai, Tak Larat Gaduh

Mesti ramai masih ingat lagi kontroversi panas terpalit Rita Rudaini dan Lisdawaty Nazaruddin, 13 tahun dulu dimana kedua pelakon tersebut bergelut dalam kolam renang sehingga hubungan mereka menjadi renggang.

Bagaimanapun, Lisdawaty dan Rita dikhabarkan sudah pun berbaik dan tidak lagi menyimpan dendam. Lisdawaty berkata, dia dan Rita tidak mahu lagi mengenang kontroversi memalukan itu memandangkan usia sudah pun meningkat.

BACA: Rita Rudaini Berang Anak Dibuli Sampai Kena Londeh Seluar

“Saya hanya mahu memandang ke hadapan. Tiada orang yang tidak mahu berubah. Lagipun, bukan sahaja umur meningkat, anak pun sudah bertambah. Tidak elok sekiranya kami terus bermasam muka.

“Selepas insiden itu, saya mengaku beberapa kali bermimpi yang positif mengenai Rita. Saya anggap mungkin Allah hendak tunjukkan sesuatu kepada saya.

“Kami sudah semakin berusia, tak laratlah hendak bergaduh. Lagipun industri ini kecil, jika ada yang cuba ‘mencucuk’ itu terpulanglah kepada mereka,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Rita berkata baik dirinya mahupun Lisdawaty dan Fauzi, masing tidak kisah jika digandingkan bersama dalam filem atau drama. Rita berkata lagi, mereka sudah lama bertegur sapa namun tiada kesempatan untuk berborak panjang.

“Setakat ini, kami belum pernah mendapat tawaran berlakon bersama. Sekiranya ada tawaran, kami tiada masalah digandingkan bertiga dalam sebuah produksi,” kata Rita.

Terdahulu, Lisdawaty dan Rita pernah menimbulkan kekecohan ketika penggambaran drama arahan Rashid Sibir, kira-kira 13 tahun lalu. Pergeseran itu dipercayai ada kaitan dengan suami Lisda, Fauzi Nawawi.