fbpx

Tahniah diucapkan kepada pelakon Datin Niena Baharun yang selamat melahirkan cahaya mata kedua di sebuah pusat perubatan ibu kota, Sabtu lalu. Berita gembira itu dikongsikan oleh Niena menerusi Instagram miliknya.

Menurut Niena, bayi perempuan seberat kira-kira tiga kilogram (kg) itu dilahirkan secara pembedahan pada jam 9.03 pagi. Lebih manis, anak keduanya itu berkongsi tarikh dengan anak sulungnya yang lahir pada 24 Oktober 2018.

“Syukur Alhamdulillah! Allah Maha Pengatur. Pada tarikh yang sama, tempat yang sama dan doktor yang sama Dr. Seri. ‘Our little girl is born, 24.10.2020’. Terima kasih untuk segala doa dan ucapan daripada anda semua,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, Niena turut memuat naik sekeping foto yang memaparkan dirinya di dewan bersalin bersama suaminya, Datuk Aliff Firdaus.

Niena mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Halim pada 1 Februari 2018. Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Adiel Mikael yang kini genap usia dua tahun.