fbpx

“Rela Tak Berlakon Jika Drama Masih Di Takuk Sama”

Sudah hampir 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, nama pelakon dan penyanyi Nur Fazura tidak perlu diperkenalkan lagi. Namun sejak kebelakangan ini, jarang sekali kita melihat Fazura muncul di kaca televisyen.

Menurut Fazura dia kini fokus pada kerjaya nyanyian dan bidang rekaan fesyen. Ujarnya lagi, dia masih ingin berlakon, namun melihatkan drama masih mengekalkan tema ‘stereotaip’ membuatkan dia terpaksa melupakannya seketika.

BACA: Fazura Kongsi Kisah Diganggu Kelibat Misteri

“Pada fasa sekarang, limpahan glamor atau populariti bukan lagi keutamaan. Saya masih ingin berlakon, terutama drama, namun melihat aliran terkini yang masih mengekalkan tema cinta stereotaip, membuatkan saya terpaksa melupakannya buat seketika.

“Saya lebih rela tidak berlakon jika drama kita masih pada takuk sama. Prinsip saya, biarlah tidak selalu muncul di skrin televisyen asalkan naskhah yang saya jayakan mampu memberi impak kepada penonton dan berbeza daripada apa yang sering disajikan.

“Saya tidak akan menggadai prinsip itu hanya kerana mahu kelihatan relevan, sedangkan hasilnya nanti langsung tidak memuaskan hati,” katanya kepada BH Online.

Kata Fazura lagi, dia perlu lebih selektif dan sekarang bukan lagi masa untuk menerima apa sahaja tawaran yang datang. Fazura berkata lagi, daripada sibuk buktikan diri sebagai artis paling laris, lebih baik baiki mutu lakonan.

“Saya lebih selesa memilih untuk menjaga nilai eksklusif. Kalau berbakat, kemasyhuran akan datang tanpa kita perlu mengejarnya. Sebagai pelakon, jika kita bagus, tiada siapa yang akan mempertikai perkara itu.

“Bagi saya, daripada sibuk membuktikan diri sebagai artis paling laris mendapat tawaran berlakon, lebih baik saya fokus kepada usaha memperbaiki mutu lakonan.

“Saya lebih suka orang melihat bakat lakonan, karya dan jalan cerita filem yang saya jayakan,” katanya.