fbpx

Umum mengetahui, beberapa hari lalu pelakon Datin Rebecca Nur Islam hampir seluruh keluarganya disahkan positif Covid-19 termasuk dirinya. Difahamkan, seluruh ahli keluarganya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Rebecca sebak berkongsikan detik cemas apabila suaminya, Datuk Norazam Sulaiman secara tiba-tiba sesak nafas dan dikejarkan ke hospital, semalam.

BACA: Suami, Enam Anak Rebecca Nur Islam Positif Covid-19

Kata Rebecca lagi, apabila dia menghubungi lebih 20 hospital tiada satu pun mahu menerima suaminya yang memerlukan bantuan oksigen susulan penuh dengan pesakit Covid-19.

“Saya terpaksa tinggalkan kesemua anak-anak yang positif Covid-19 buat sementara waktu kerana perlu menemani suami yang dalam keadaan kritikal semalam. Sebaik tiba di sebuah hospital swasta, kami diberitahu perlu menunggu giliran kerana jumlah pesakit yang ramai dan padat.

“Saya dan suami perlu menunggu hampir dua jam di tepi jalan di dalam ambulans. Saya juga akui ada satu kedegilan apabila seboleh mungkin tidak mahu membawa suami ke hospital kerajaan atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang kerana saya amat takut jika keadaan suami akan bertambah teruk.

Katanya lagi, sementara menunggu giliran menerima rawatan, mujur dia teringat seorang rakan memaklumkan mengenai Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) yang terdapat di sebuah hotel di ibu negara.

“Jadi saya terus membawa suami untuk mendapat alat bantuan oksigen kerana keadaannya sangat kritikal. Alhamdulillah, suami saya akhirnya menerima bantuan oksigen namun doktor memaklumkan dia kini berada di tahap 4 Covid-19,” katanya.

Rebecca berkata lagi, suaminya kini ditempatkan di wad lebih ketat memandangkan keadaannya yang sudah berada di tahap 4 ke 5 dan tidak dibenarkan untuk menemani suaminya.

“Ketika berada di wad kecemasan hospital terbabit, saya sangat sedih apabila melihat suami saya buat pertama kali menangis di depan saya. Dia beritahu dia tak sanggup dan minta jangan tinggalkannya.

“Berkali-kali dia cakap yang dia takut dan mohon saya berada di sampingnya. Namun saya diberitahu yang saya tidak boleh menemani suami di hospital kerana dia akan ditempatkan di wad yang lebih ketat kerana keadaannya yang sudah berada di tahap 4 ke 5,” katanya.