fbpx

Rayuan Ditolak, Farid Kamil Dipenjara 9 Bulan

Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, terpaksa merengkok dalam penjara sejak Khamis lalu, selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Memetik laporan BH Online, suami kepada Datin Diana Danielle dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan dadah.

BACA: 35 Hari Dalam Penjara, Farid Kamil Dibenar Tangguh Hukuman

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam penghakimannya menolak rayuana tertuduh sebaliknya mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.

Ketika prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu berlangsung, Farid Kamil, dilaporkan hadir bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga dengan menunggang motosikal.

Pada Mei lalu, Farid dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Ab Karim membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018.