fbpx

Rasa Bersalah, Saharul Ridzwan Pernah Niat Berhenti Berlakon

Sejak kebelakangan ini, ramai pelakon yang bergelar suami atau isteri lebih peka mengenai hukum dan meletakkan syarat untuk tidak melakukan babak bertentangan ajaran Islam.

Pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan dia sebelum ini pernah nekad untuk meninggalkan dunia lakonan kerana dihantui rasa bersalah apabila terpaksa melakukan adegan bersentuhan dengan pelakon wanita lain.

BACA: Mula Hidup Baru, Saharul Jual Semua Barang Berjenama

“Saya nekad meninggalkan dunia lakonan kerana tidak kuat mengatakan tidak kepada beberapa perkara yang saya rasakan salah kalau saya buat. Antaranya babak bersentuhan lelaki dan perempuan walaupun berlapik.

“Saya sudah mempersiapkan diri daripada segi mental dengan memaklumkan kepada isteri supaya bersedia dan terus bersama saya jika saya hilang punca pendapatan,” katanya kepada BH Online.

Namun, Saharul melupakan hasratnya itu selepas mendapatkan pandangan daripada pakar agama berhubung perkara itu kerana apa yang penting adalah niat.

“Bagaimanapun, selepas merujuk perkara itu kepada pakar agama, mereka mengatakan tidak salah untuk saya meneruskan kerjaya ini. Mereka berpesan, saya boleh terus berlakon asalkan menanam niat, ia adalah suatu cara untuk saya berdakwah melalui mesej yang disampaikan dalam lakonan. Pendapat itu disertai dengan hadis dan dalil lalu melegakan saya.

Dalam pada itu, menerusi Instagram, Saharul menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataannya itu dengan memberitahu bahawa niat tidak menghalalkan apa yang haram, yang haram tetap haram, namun dia akan cuba elakkan perkara itu demi Allah.