Sebagai rakyat Malaysia, sudah menjadi kemestian untuk seseorang itu bertutur dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, pelakon Ramona Zamzam mengakui tidak mengajar anaknya, Ivanna Alashkar bertutur dalam Bahasa Melayu.

Menurut Ramona, dia terpaksa menggunakan satu pilihan bahasa untuk berkomunikasi dengan anaknya yang sama digunakan bersama suaminya yang merupakan warga Palestin selepas mendapat saranan daripada doktor bagi mengelakkan kekeliruan.


BACA: Dulu Macam Kertas Pasir, Tips Kulit Licin Ramona Zamzam

“Sebenarnya ramai yang tanya soalan sama (sama ada anak faham Bahasa Melayu). Jawapannya, tak faham. Ia dicadangkan oleh doktor kami.

“Masa awal-awal kami bercakap dengan Ivanna ayahnya cakap bahasa Arab. Dia pergi tadika Cina jadi cikgu-cikgu dia cakap Mandarin dengan dia. Saya bercakap dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di rumah, tapi doktor cakap nanti bimbang Ivanna keliru.

“Sebabnya bahasa utama kami (saya dan suami) di rumah Bahasa Inggeris. Cadangannya ialah satu orang hanya cakap satu bahasa sahaja, jadi saya kekal dengan Bahasa Inggeris untuk elak kekeliruan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ramona berkata meskipun anaknya bertutur dalam Bahasa Inggeris tetapi dia yakin anaknya dapat menguasai pertuturan dalam bahasa Melayu kelak.

Malah, Ramona juga turut berbangga kerana sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu ketika di bangku sekolah itu meskipun belajar di sekolah Cina.

“Bukanlah sebab saya memang tak mahu ajar anak cakap Bahasa Melayu. Bahkan, saya bangga nak katakan yang subjek Bahasa Melayu memang selalu skor A, walaupun saya belajar di sekolah Cina.

“Cuma, saya percaya, kalau dah tinggal di Malaysia, 100 peratus yakin Ivanna akan pandai cakap Melayu. Sekali-sekala ada juga terlepas cakap Melayu, tapi saya fokus lebih kepada Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Ramona mendirikan rumah tangga dengan Rami Alashkar pada 1 Mei 2015. Hasil perkahwinan, pasangan itu kemudian dikurniakan cahaya mata pertama, Ivanna Alashkar pada 7 Disember 2017.