fbpx

Kini bergelar jutawan kosmetik di usia muda, pelakon dan ahli perniagaan Syifa Melvin berkata dia kini lebih memberi fokus terhadap bisnes yang diusahakan bersama adik-beradiknya berbanding kerjaya seni.

Menurut Syifa, penglibatannya dalam dunia lakonan dan pengacaraan berlaku secara tiba-tiba. Ujarnya, pada awalnya dia hanyalah seorang influencer dan ramai tidak tahu dia pernah menjadi juru solek.

BACA: Syifa Melvin & Adik Beradik Kini Bergelar Jutawan

“Jujurnya saya terjun dalam dunia hiburan tanpa disengajakan saya hanyalah seorang influencer dan pernah menjadi jurusolek selama dua tahun. Ramai yang tak tahu ketika itu, saya pernah bangun jam 5-6 pagi untuk solek pengantin tapi dilabel sebagai ‘gold digger’.

“Rasanya ia telahan yang tidak wajar dilemparkan pada saya, rasa sakit hati. Jadi dalam fasa tersebut saya ada temani Syatilla ke set penggambaran kalau ada masa terluang dan pada masa saya juga sedang belajar.

“Alhamdulillah saya juga ada dapat beberapa tawaran lakonan waktu itu cuma tidak boleh fokus dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Syifa berkata buat masa ini dia mahu fokus pada dunia perniagaan namun akan mempertimbangkan tawaran berlakon andai ada naskhah bersesuaian selepas ini.

Berkongsi kejayaan mereka adik-beradik dalam dunia perniagaan kosmetik, Syifa berkata mereka sering menjaga hubungan baik, tidak pernah bergaduh apatah lagi cemburu dengan adik-beradik yang lain.

“Tanpa sokongan adik beradik lain mungkin Kekasih by The Melvins tidak akan sampai ke tahap ini. Salah satu rahsia kejayaan kami adalah menjaga hubungan baik antara adik beradik.

“Ibu dan ayah selalu pesan, apapun yang terjadi, adik beradik tak boleh berpecah. Masing-masing kena ambil tanggungjawab untuk bantu dan saling menyayangi,” katanya.