Ramai tidak tahu tahun lalu pelakon Liyana Jasmay menghasilkan sebuah filem berjudul Bella & Jamie. Meskipun hanya mampu memungut RM9,185.50, Liyana berkata dia tidak serik untuk terus menghasilkan filem lagi.
Ujarnya lagi, filem tersebut kurang mendapat sambutan di pawagam dan gagal berpunca daripada pemasaran yang lemah. Katanya lagi, apa yang berlaku itu dijadikan pengajaran dan tidak akan mengulangi kesilapan sama lagi.
BACA: Lisa Surihani Kecewa Liyana Jasmay Terus Dikecam Netizen
“Tiada istilah serik bagi saya apabila Bella & Jamie kurang mendapat sambutan di pawagam. Sebaliknya, ia menjadi pengajaran buat kami supaya tidak memandang remeh aspek pemasaran dan promosi.
“Saya percaya, jika kami mendapatkan pasukan pemasaran dan pengedaran yang baik, ia tentu dapat menarik penonton ke pawagam,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Liyana berkata dia akan muncul dengan filem kedua berjudul, Reunion yang akan memulakan penggambaran pada Jun atau Julai nanti.
Untuk rekod, filem Bella & Jamie yang ditayangkan pada 31 Januari tahun lalu adalah yang terendah sepanjang 2019 bagi judul tempatan, seperti dikongsi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).