fbpx

Rahsiakan Hubungan Cinta, Wany Hasrita Hormat Peribadi Suami

Dalam diam, Jumaat lalu penyanyi Wany Hasrita selamat bergelar isteri kepada juruterbang, Mohd Al-Adib Fahmi.

Memetik Harian Metro, Wany berkata dia memilih merahsiakan hubungan cintanya dengan suami kerana menghormati peribadi suami serta belajar daripada pengalaman lalu.

BACA: Wany Hasrita Sah Bergelar Isteri Al-Adib Fahmi

“Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu, tidak perlu dikongsikan. Itu sebab dalam perhubungan kali ini, saya mengambil pendekatan sebegitu. Biar semuanya sudah ‘confirm’ (sah) barulah kita kongsikan.

“Lagipun dia juga bukan seorang yang cenderung kepada media sosial. Dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial.

“Jadi, saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati,” katanya.

Dalam pada itu, Wany meluahkan rasa syukur suami menerima kerjaya seninya serta memberi kepercayaan kepadanya namun berpesan supaya menjaga diri.

“Macam dikatakan, dia bukan ‘kaki media sosial’. Disebabkan itu dia tak ambil tahu sangat. Lagu saya pun dia tak tahu banyak, jauh sekali soal gosip. Pendek kata, suami bukan seorang yang minat dalam industri hiburan.

“Alhamdulillah, dia menerima saya seadanya dan sangat baik. Dia memahami kerjaya saya dan tak kacau, cuma pesannya apa yang perlu dijaga, kena jaga.

“Pendek kata, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menjaga diri. Dalam masa sama, dia pun tahu siapa kawan-kawan saya, sebaliknya begitu juga saya,” katanya.