fbpx

Wany Hasrita Sah Bergelar Isteri Al-Adib Fahmi

Tahniah diucapkan buat penyanyi Wany Hasrita yang sah bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib Fahmi dengan dua kali lafaz sebentar tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Wany sendiri, Hasbullah Hassan, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.

BACA: Wany Hasrita Nikah Tahun Ini

Pada majlis itu, Wany menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan dan tiada dulang hantaran daripada kedua-dua belah pihak.

Memetik Harian Metro, Wany meluahkan rasa syukur majlis yang dirancang berjalan dengan lancar, serta mengucapkan terima kasih buat mereka yang mendoakan buat dirinya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT. Terima kasih kepada mak, ayah, keluarga, rakan-rakan, pihak media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi.

“Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang. Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik. Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.

“Saya berdoa agar semoga segalanya dipermudahkan. Paling penting juga, saya mohon untuk semua mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini,” katanya.

Berkongsi mengenai suaminya, Wany berkata mereka mula rapat sejak tahun 2019 dan pemuda berusia 30 tahun itu bekerja dalam industri penerbangan di Kuching, Sarawak.

Menurut Wany, dia dan Adib mengikat tali pertunangan pada 26 Februari lalu yang hanya dihadiri kelurga dan kenalan rapat sahaja.

“Dari mula perhubungan ia bukan lagi untuk cuba-cuba tapi memang nak berkahwin. Dia pun sama juga begitu. Itu yang kami ambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu pada 26 Februari lalu di sebuah hotel di Sepang, Selangor, yang mana hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja.

“Kalau diikutkan perancangan nak berkahwin dibuat lebih awal, tapi disebabkan jarak kami yang mana dia bekerja di Kuching, masa dan komitmen kerjaya, jadi kami ambil keputusan untuk cari waktu paling sesuai untuk kedua-dua pihak. Ditambah pula kita sudah masuk fasa endemik, jadi kami fikir ini waktu yang tepat,” katanya.