fbpx

PU Riz Tak Dapat Menahan Air Mata Bebas COVID-19

Hampir dua minggu menjalani rawatan dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, pendakwah bebas dan pelakon, Pencetus Ummah Riz menitiskan air mata apabila disahkan negatif dan bebas wabak Covid-19 semalam.

PU Riz turut meluahkan rasa syukur apabila disahkan dia sembuh kerana wabak tersebut boleh membawa maut. Ujarnya lagi, Allah memberi peluang kedua kepadanya dan apabila dijangkiti wabak tersebut dia hanya ingat mati.

BACA: PU Riz Positif COVID-19, Pernah Solat Di Masjid Jamek Sri Petaling

“Saya hanya mampu memanjat kesyukuran kerana sudah pulih sepenuhnya. Saya menitiskan air mata ketika diberitahu ujian COVID-19 negatif, petang semalam. Kita sedia tahu bahaya virus ini dan boleh merentap nyawa sekelip mata. Saya seperti diberi peluang kedua untuk hidup.

“Tak dinafikan, hanya ingat mati ketika dijangkiti COVID-19. Sepanjang dalam rawatan, doktor dan jururawat sentiasa memberikan semangat dan minta berfikiran positif. Ada jemaah tabligh berpesan, yakin Allah ada bersama kita,” katanya. katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, PU Riz berkata dia sangat merindui keluarganya dan tidak sabar untuk bertemu mereka. Malah, PU Riz turut menitipkan pesanan agar hargai keluarga dan nikmat yang diberikan.

“Seronok dapat berjumpa keluarga. Ibu sudah sedia menyambut saya dengan masakan enak. Nikmat ini yang perlu dihargai. Jangan sampai hilang begitu sahaja. Sayangi mereka terutama keluarga tersayang,” katanya.

PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail disahkan positif COVID-19 pada 6 April lalu selepas mengalami demam panas selama tiga hari.